Dec 31, 2025 - FASSkuad Wanita Selangor FC menutup tirai Liga Wanita National 2025 di kedudukan naib juara dengan 34 mata hasil daripada 14 perlawanan; mencatat 11 kemenangan, satu seri dan dua kekalahan. Pencapaian ini menyaksikan peningkatan lima mata berbanding musim lalu.
Musim 2025 menjadi musim yang penuh kenangan buat skuad Wanita Selangor FC apabila menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya. Antara pencapaian membanggakan ialah rekod sembilan perlawanan tanpa kalah dalam sembilan aksi terakhir liga, selain mencatat kemenangan terbesar musim ini dengan keputusan 10-0 ke atas Young Tigress. Skuad Wanita Merah Kuning juga berjaya merekodkan enam perlawanan tanpa bolos sepanjang musim.
Sepanjang saingan Liga Wanita National 2025, lima pemain terbanyak beraksi di bawah kendalian Osmera Omaro adalah penyerang pasukan, Ayuna Anjani dengan 1,259 minit, Kapten pasukan, Ainsyah Murad dengan 1,242 minit, Najwa Irdina beraksi sebanyak 1,179 minit, Amirah Rahman bermain selama 1,011 minit dan Euswewana Kadius dengan 899 minit.
Dalam 14 aksi musim ini, skuad Wanita Gergasi Merah berjaya menjaringkan 62 gol dengan purata 4.42 gol setiap perlawanan. Ainsyah Murad terus menyerlah dengan meledak 17 gol, sekali gus muncul sebagai penjaring kedua terbanyak liga musim ini. Manakala Najwa Irdina, Jang Bojeong dan Esther Sunday masing-masing menjaringkan enam gol dan Kaseh Carmila menambah lima gol. Selain itu, Nurin Manan, Ayuna Anjani, Fazira Sani dan Amirah Rahman menjaringkan empat gol. Seterusnya, Mecca Rania dan Aisha Lynn dengan 2 gol, serta Nuratiqah Batrisyia dan Euswewana Kadius mencatat 1 gol setiap seorang.
Daripada 62 gol tersebut, Ainsyah Murad sekali lagi menyerlah dengan membuat 12 bantuan gol, diikuti Kaseh Carmila tujuh ‘assists’, Esther Sunday enam bantuan gol dan Najwa Irdina lima. Seterusnya, Euswewana Kadius tiga ‘assists’, Ayuna Anjani dan Farisya Hanim 2 bantuan gol setiap seorang. Selain itu, Mecca Rania, Fazira Sani, Nurin Manan, Siti Zahirah dan Ku Nuwairah masing-masing merekodkan satu bantuan gol 1, menunjukkan kemampuan pasukan mencipta peluang dari pelbagai posis.
Hasil prestasi yang dipamerkan oleh Ainsyah Murad, beliau telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Wanita National untuk dua musim berturut-turut, menunjukkan kepimpinan yang tinggi dan konsistensi yang solid daripada pemain yang berusia 22 tahun ini.
Dengan purata umur pasukan 21 tahun, Selangor FC Wanita berjaya menggabungkan tenaga muda dan pengalaman, menjadikan pasukan lebih dinamik serta kompetitif. Ketua jurulatih, Osmera Omaro, berkata, “Pasukan Selangor FC membawa barisan pemain muda dalam saingan Liga Wanita National, satu pentas yang tinggi untuk mereka. Saya bangga dengan persembahan dan peningkatan yang ditunjukkan. Selangor FC sentiasa komited terhadap pembangunan pemain kerana ini adalah langkah penting untuk masa depan. Tahun lalu kita berada di tempat ketiga dan musim ini di tempat kedua. Insya-Allah, tahun depan kita akan berusaha untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.”
Pihak pengurusan Selangor FC amat berbangga dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh skuad Wanita Gergasi Merah. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada para pemain, barisan jurulatih dan pegawai atas pencapaian musim ini. Semoga lebih banyak kejayaan dapat diraih pada musim hadapan. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!